APAKAH ITU RASUAH??
Rasuah merupakan gejala yang sinonim dengan masyarakat kita pada hari ini. Definisi rasuah secara literalnya bermaksud sogokan atau secara konseptualnya bermaksud suatu bentuk pemberian seperti hadiah dan wang tunai untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan, pertolongan, diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan dan sebagainya yang diberikan oleh orang tertentu kepada pihak lain untuk menyembunyikan sesuatu perkara atau untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang mudah dan cepat tetapi salah mengikut undang-undang negara.
RASUAH MENGIKUT KONTEKS ISLAM
Rasuah
dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini
berdasarkan dalil yang qat’i iaitu al-Quran, as-Sunah dan Ijmak Ulamak. Dalam al-Quran terdapat ayat yang
menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT maksudnya : “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain
di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta
kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil)
harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah
al-Baqarah ayat 188)
Rasulullah SAW
bersabda maksudnya : “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan
masuk ke dalam api Neraka”. (Hadis Riwayat at-Tabrani)
PUNCA DAN KESAN TERJADINYA RASUAH
Berdasarkan
pemerhatian, punca-punca menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar atau
sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat,
tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja. Mereka yang
memberi dan menerima rasuah adalah mereka yang lemah imannya dan tidak takut
kepada kemurkaan Allah SWT.
Harta yang
dimiliki bersumberkan rasuah tidak akan diberkati Allah SWT kerana kehidupan
mereka dan keluarga tidak akan tenang untuk mengecapi kebahagiaan hidup.
Sama ada
disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya
mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti pembahagian kekayaan negara tertumpu
kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasa
kezaliman dalam masyarakat. Dengan demikian golongan yang paling malang dan
rugi ialah golongan yang berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang
empat kerat seperti para petani, nelayan, penoreh getah, buruh kasar dan
kumpulan dhaif yang lain .
HUKUM JIKA TERLIBAT DENGAN RASUAH
Rasuah adalah
perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan doa kita.
Sedekah dan ibadah haji juga tidak akan diterima oleh Allah SWT. Alangkah
ruginya mereka yang melakukan perbuatan rasuah ini kerana ibadah dan doa mereka
menjadi sia-sia, dan tidak akan mendapat
rahmat Allah SWT.
AKIBAT JIKA TIDAK MENGHINDARKAN GEJALA INI DALAM HIDUP KITA
Lebih
membimbangkan lagi jika kita tidak segera membanteras penyakit rasuah boleh
menyebabkan kita terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam
kehidupan, akibat kemurkaan Allah SWT.
Firman Allah
SWT yang bermaksud : “Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada,
kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan
mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan.
Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka
membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan
mereka derhaka dan melampaui batas.” (surah Ali Imran ayat 112)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan